Saturday, 2 March 2013

visual diary ...makanan kampung..

bismillah


Sebagai seorang yang berasal dari kampung, kita tak dapat lari dari makanan tradisi nenek moyang. Anak-anak zaman sekarang sudah tidak terbiasa lagi dengan makanan tradisi kita. Yang mereka kenal cuma Kfc, McD, Pizza, Burger King, Spaghetti dsbnya. Kalau cerita pasal petola, bunga kantan, kesum, gulai kerutub, singgang dll mereka tak tau, kalau tak tau macam mana nak makan.

Nasib baik lah anak-anak saya dari kecil lagi dah saya kenalkan dan paksa secara saikologi tentang kebaikan makanan tradisi kita. Tambah bertuah lagi sebelah ipar duai saya, memang orang Minang asal Bukit Tinggi yang juga kaya dengan makanan tradisi seperti masak lemak cili api, gulai tunjang, dendeng dll.



Jadi anak-anak sangat beruntung dapat menikmati masakan tradisi dari pantai timur dan juga minang. Mereka semacam tak seronok kiranya dalam seminggu tak dapat menjamah masakan tradisi/kampung. Sekarang sebahagian masakan minang saya sudah juga arif dan tau memasak walaupun tidak sehebat mertua saya.


Ini adalah resepi turun temurun yang masih saya amalkan sampai kini....masakan kampung "Tulang Rawan Singgang Kerisik"...kalau di teliti masakan sebegini sangatlah berkhasiat kerana tidak menggunakan apa-apa minyak seperti masak sup tulang. Semua bahan yang di gunakan adalah daripada tanaman herbal  yang senang di perolehi.

Kalau di kampung-kampung semuanya tanam sendiri di halaman rumah. Saya tak tau lah samada saya ni bertuah atau tidak bernasib baik. Dari kecil se umur 7/8 tahun saya telah didedahkan kepada dunia masakan. Ibu bapa saya petani jadi banyak masa dihabiskan di ladang juga sawah padi. Kakak saya bersekolah di bandar tinggal dengan bapa saudara.  Kami hanya dua beradik.  Beza umur sepuluh tahun. Ibu mewariskan saya ilmu masakan. Suka tak suka terpaksa saya lakukan sehinggalah menjadi satu 'obsession' kepada saya

Memang lah pada mulanya saya memberontak kerana saya fikir memasak ni kerja perempuan. Tapi satu hari untuk dijadikan cerita pembantu bapa orang-orang Siam yang bekerja di sawah bapa memuji masakan saya. Mereka berselera makan bermakna mereka ikhlas tentang masakan saya. Bermula dari situlah saya tekun mempelajari apa jua ilmu masakan ibu sehingga saya jadi 'independent'. Saya 'modify' resepi ibu menjadi lebih menarik. Bila ada tetamu datang ibu dengan bangga bercerita apa yang dimakan itu adalah masakan saya.

Sekarang baru saya sedar dan berterima kasih sangat pada ibu menjadikan saya mewarisi resepi nenek moyang kita. Sekarang bila saja balik rumah ibu,  saya yang menyediakan juadah. Ibu dan isteri saya biarkan mereka berkongsi cerita, maklum mereka sekali sekala ketemu. Sungguh terharu saya melihat kemesraan mereka berdua. Itulah yang selalu saya doa dan harapkan agar ibu dan isteri saya jadi akrab,  dan sememangnya mereka akrab. 


Masakan Minang sebenarnya ringkas dan menyelarakan. Sambal cili hidup ini sangat senang disediakan dan menjadi pelengkap hidangan. Orang minang terkenal dengan segala sambal yang lazat sama dengan orang pantai timur yang tersohor dengan budunya.  Orang kampung rasa tak lengkap jika setiap hidangan budu ditinggalkan.

Anak-anak saya yang sudah berumah tangga dan kini berjauhan, hampir setiap minggu kerumah kami untuk makan bersama. Mungkin kerana terbiasa dengan masakan di rumah kami. Sekiranya ke rumah kami yang pertama dicari apa yang ada di bawah tudung saji. Kadang-kadang mereka bercerita adik beradik apa yang saya masak. Habis je waktu kerja terpacak lah di depan pintu. Kalau abang-abang tak balik yang adik-adik selalu usik konon rugi tak balik semalam ayah masak sedap itu ini. 

Sekarang ni dah jadi trend restoran masakan kampung mula di gemari ramai di kawasan bandar. Kalau ada satu dua restoran masakan kampung pasti ramai peminat. Ramai yang mula menyedari makanan kampung lebih berkhasiat untuk kesihatan. Dah jadi satu kesedaran bahawa sayuran organik lebih baik dan orang ramai mula memilih makanan organik walau pun mahal.

Apa guna kaya raya duit berjuta kiranya berpantang segala. Duit tak dapat beli kesihatan. Kesihatan tak boleh di jual beli. Berapa ramai yang berkorban kesihatan untuk duit, dan berapa ramai yang berkorban duit untuk kesihatan ?

Pola pemakanan memainkan peranan besar dalam kehidupan. Jarang sekali dengar orang kampung yang 'stroke', atau yang bermasaalah 'multiple organ dysfunction', hanya orang bandar hidapi penyakit-penyakit begini ditambah masalah stress, kurang oksigen dll.


Kehidupan di kampung penuh damai, makanan organik, banyak 'negative ion' (vitamin udara), stress'' jarang sekali, 'exercise' adalah 'routine' harian dan ulaman adalah yang pasti dihidang  setiap juadah. Nenek saya hidup sampai 90 tahun lebih, bapa saya 80 tahun lebih, ibu saya sampai kini masih sihat , mata masih terang, ingatan masih kuat walau sudah 80 tahun lebih usianya. 

Ulaman kampung sangat sesuai untuk kesihatan manusia. Semua yang jenis 'fibre' sangat bagus untuk penghadaman. Lihat saja bende yang umum ketahui bagus untuk melawan kencing manis, terung yang berwarna pun bagus, pegaga, daun kesum dan serai kayu sangat-sangat mujarab untuk pengaliran darah.


Orang-orang pantai timur terkenal dengan nasi ulam, nasi kerabu yang berasaskan pucuk-pucuk dan ulaman. Mungkin ramai yang tak kenal pucuk binjai, pucuk gajus, pucuk dan buah beko apa lagi jeruk maman dan pucuk putat.
Buah-buahan juga penting untuk tenaga seperti pisang yang tinggi potassium, juga manggis, langsat, durian belanda dan macam-macam lagi. Kenapa mesti makan epal kalau buah-buahan tempatan pun tak kurang nilai kesihatannya.

Khabarnya bayam sangat membantu menyembuhkan/mengurangkan buasir, sifat tumbuhan ini yang banyak mangandungi cecair dan 'fibre' adalah sebagai satu ejen penyembuh.

Kalau dihitung semua yang diceritakan tadi adalah yang senang di dapati, murah, organik atau tanam sendiri dan penjagaannya pun tidak rumit. Sayuran begini tambahan yang merah kononnya dapat mengimbangi struktur darah dalam badan, warna merahnya yang asli bukan tiruan itu yang menjadi penawar kesihatan.

Di kampung, masih saya ingat sayur ini dimasak hanya guna air sahaja dicampur bawang putih dan merah serta garam dan lada putih secukup rasa, kita panggil "SayurAir". Tiada minyak, tiada 'chemical' yang ada semuanya bahan-bahan yang sangat diperlukan tubuh badan. 

Nenek saya selalu masak begini di makan bersama ikan rebus atau ikan bakar dicicah budu. Mana tak sihatnya kalau ini yang dimakan, bukan makan roti canai yang banyak minyak atau ayam goreng Kfc yang 'deep fry', atau burger yang penuh 'mayonnaise' dan keju yang tak lah sedap pun, tapi biasa lah makan penuh gaya, 'style' je lebih tapi memudaratkan.



Inilah resepi masakan ibu atau masakan kampung yang sangat saya senangi dan paling digemari anak-anak saya. Bila saja saya ke dapur menyediakan masakan ini, anak-anak pasti tunggu dengan penuh tak sabar, sanggup pergi lewat jumpa kawan-kawan. Bagi saya memasak adalah satu terapi.  Kebersihan terjaga, dimasak di iringi selawat dan doa yang pasti membawa berkah. 

Kiranya kita masak dengan ikhlas makanan tersebut mesti sedap, menyelerakan dan setiap peluh menitik ketika menyediakan makanan pasti mendapat ganjaran. Itu janji Allah. "Ayam Kampung Gulai Darat" yang menggunakan bahan-bahan 'herbal' yang 'fresh', pelbagai rempah ratus yang murah dan sangat senang menyediakannnya.

Ayam kampung yang dibela sendiri lagi lah lebih baik. Telur ayam kampung memang terkenal mujarabnya kerana apa? Dulu saya pun tak mengerti sehinggalah satu hari Ketua Pengarah jabatan di mana saya bertugas dulu memberitahu, telur ayam kampung sangat berkhasiat kerana telur ayam kampung adalah "fertilised egg" bererti telur tersebut terhasil dari hubungan jenis di antara ayam jantan dan ayam betina bukan seperti ayam kandang tanpa hubungan jenis. Barulah saya mengerti, mungkin ramai juga di antara kita yang juga seperti saya dulu tak tau kenapa.? 

Kalau yang berhasrat mencuba resepi kampung saya boleh kongsikan dengan anda, bukan saya pandai tapi saya kongsikan apa yang pernah cuba resepi tersebut. Resepi asas tu yang penting, boleh 'modify' sesuaikan dengan citarasa masing-masing.


'A good food is something that is simple, looks good and balance taste.'

Tiba-tiba jer teringat kampung, minggu depan insyaAllah balik dan kita sambung lagi .....