Sunday, 16 February 2014

BAHAYA ADA DI MANA-MANA.

Bismillah.


'Kau kat mana?'


Saya menerima panggilan telefon dari kawan saya Hj Muhalim pada jam 5.30 petang, 16 feb. 2014.


'Ada kat rumah...apa citer?'


'Jom la kita minum kat Hainan Kopitiam sek.9' Hj Muhalim menyarankan pada saya untuk minum di tempat biasa kita orang lepak-lepak.


'Hari ni kan Ahad, buka ke?'


'Kalau tak buka kita pegi ke Papa Rich la kat Shah Alam Mall'


'Ok la kalau cam tu...' jawab saya sambil saya bangun dari atas tikar tempat saya baring.


Saya pun bergegas mandi. Mandi banyak kali pun ok gak, maklum lah sekarang ni entah cuaca lain macam, asyik kering dan panas. Semalam ada juga hujan pada jam 6-7 petang, tapi hanya sekejap tak lah lebat mana. Ok lah daripada tak hujan langsung. Pada pertengahan dan penghujung januari sejuk semacam, konon terdapat 'tundra effect'...tapi sekarang dah kembali normal.



Semalam lain macam pula hujan. Matahari terang bersinar dan hujan pula mencurah turun. Kata orang itu adalah hujan panas. Kalau kat kampung dulu orang-orang tua suka mengaitkan hujan panas ni dengan peristiwa yang kurang baik seperti akan terjadi mala petaka atau sesuatu yang buruk akan berlaku. Itu hanya lah kepercayaan yang tiada bukti dan faktanya.



Sempat juga lah saya merakam beberapa keping gambar ketika hujan turun semalam. Di depan rumah saya terdapat kedai dan bayangan sinaran cahaya matahari senja ke atas air hujan kelihatan menarik di atas jalan dan kawasan parkir.



Oleh kerana kawasan rumah saya ni berdekatan dengan kawasan hutan Bukit Cherakah, kawasan tadahan air dan hutan simpan kekal, maka kerap lah juga turunnya hujan. Kalau sekiranya kawasan lain di Shah Alam ni kering tapi kadangkala hujan turun juga di kawasan kediaman/kejiranan saya. Untung gak tinggal di pinggiran bukit bukau ni.



Saya tiba awal di Hainan Kopitiam. Sementara menunggu Hj Muhalim saya rehat dalam kereta sambil mendengar lagu  Ruang Rindu dendangan Letto...lagu lama tapi masih menyengat. Lima minit kemudian saya ternampak sebuah Toyota Land Cruiser VX parking sebelah kereta saya. Saya tinjau-tinjau menerusi tingkap. Saya kenal orangnya tapi tak ada lah saya menegurnya kerana mungkin dia datang untuk tujuan ketemu orang lain. Dan saya melihat dia terus masuk ke dalam restoran. 


Hampir selepas setengah jam Hj Muhalim masih jua belum muncul. Lalu saya mematikan enjin kereta dan bergerak menuju restoran. Kawan saya tadi Mazlan duduk di sebelah dalam dan saya memilih tempat duduk di sebelah luar. Mazlan masih tak perasan saya yang sedang duduk di sebelah luar restoran. Saya tak nak kacau dia kerana dia asyik dengan hand phone nya.


Sambil saya meneliti menu, saya ternampak sebuah Audi A6 tiba di pekarangan restoran. Ah...dah sampai rupanya Hj Muhalim. Sambil bersalaman saya mempersilakan Hj Muhalim duduk di kerusi depan saya.


'Kau ajak Mazlan sama ke?' Saya bertanya pada Hj Muhalim.


'Ya...kau ada nampak dia?'


'Tu kat dalam, aku ingat dia datang untuk jumpa geng lain'


Sambil itu Hj Muhalim melambaikan tangan kearah Mazlan yang sedang minum. Sebentar kemudian Mazlan datang ke meja kami bersama secawan minuman yang masih terpegang di tangan kirinya.


'Eh kau Sam, aku tak perasan kau pun ada'


'Aku nampak kau tadi, tapi kau asyik sibuk dengan phone jer, tak nak la aku ganggu'


'Eh Sam kau tak pegi majlis kenduri kahwin rumah Mazlan semalam? Tak nampak pun kau?'


'Aku tak tahu...Mazlan mana ada nombor aku'


Mazlan ni kira jiran satu qariah sek 8...dia tinggal di rumah banglo mewah di kawasan saya. Menurut Hj Muhalim semalam ada majlis kenduri kahwin anak-anaknya...dia buat serentak untuk dua orang anaknya.


'Aku minta maaf la Sam aku terlupa nak jemput kau...lagi pun alamat kau aku takde...maaf ye'


'Eh tak kisah la, janji majlis kau berjalan lancar'


'Kau tahu Lim, semalam masa majlis tu jam 2 petang nasi dah habis, nasib baik caterer tu buat spare...dia cakap jemputan yang datang hampir 3 ribu orang sedangkan tempahan untuk 1500 orang..'


'Ok la tu...mesti ada yang datang bawa famili...biasa la kenduri ni kena order sekurang-kurangnya 40% extra...kalau tak malu makanan tak cukup' Hj Muhalim mencelah.


'Ada orang kata makanannya sedap...ok ke Lim  makanan semalam?'


'Ok, boleh la...masalah sekarang ni bila kenduri kawin semua rumah sediakan hidangan nasi minyak, kadang-kadang dah tak boleh nak masuk tekak,'  saya menambah apa yang Hj Muhalim cakap tadi.


'Betul tu Sam...aku ingat nak tukar menu la...masakan kampung ke...nasi minyak tu bukan makanan tradisi orang Melayu kita...tapi yang peliknya itu yang popular'


'Betul tu...heran yer...tapi di pantai timur, zaman dulu la, sekarang tak tahu la...dia orang sediakan hidangan asli...makan nasi bekwoh gulai kawah...ada sira labu sekali...' saya terangkan cara orang sebelah pantai timur buat kenduri kahwin.


'Kau bawa kereta mana Sam?...Tak nampak pun kau datang?' Tanya Mazlan kepada saya.


'Tu sebelah kau tu...'


'Oh kau yang drive X5 tu..' 


Berapa minit kemudian nampak sebuah kereta yang saya sangat familiar, parking sebelah kereta Hj Muhalim. Rupanya ramai gak kawan yang Hj Muhalim ajak.


'Aku ajak Imam datang sama tadi...dah sampai pun' Hj Muhalim berkata sambil tersenyum dan mengangkat tangan ke arah Imam.


'Sejak balik dari Sabah ni nampak makin berseri kau' saya mengusik Imam.


'Projek dah berjaya la tu' Mazlan pula menambah.


'Bukan apa...sekarang banyak pihak yang dah setuju nak ambik baka benih padi aku...'


Sebenanya Imam ni dia kongsi dengan Hj Muhalim dan Richard Leong untuk mengeluarkan benih padi klon dari China. Sekarang ni tengah  buat 'experimental farm' di Tuaran. Dah hampir peringkat akhir ujian. Projek ini di jalankan dengan kerjasama Jabatan Pertanian Sabah...hasil benihnya akan digunakan untuk tanaman padi di Negeri Sabah. 


'Kau tahu tak sekarang ni ramai orang Syria yang datang macam pelarian ke tempat kita...kat flat sek 8 tu ada beberapa famili yang datang sini..sedih gak dengar citer dia orang...ramai yang lari dari kekejaman di sana...' Mazlan membuka bicara tentang pelarian Syria.


'Bukan saja Syria...yang datang dari Iran, Iraq pun makin ramai.' Hj Muhalim menambah apa yang di ceritakan oleh Mazlan.


'Aku ingat kalau kau nak tolong dia orang, lebih baik bagi zakat terus kat dia orang tak payah melalui pusat zakat' Mazlan semacam dah teruja sangat dengan kisah pelarian ni.


'Lim kau tahu tak semalam rumah Dato Noordin kena rompak?...Aku ada gambar yang dia hantarkan kat aku' saya cuba ceritakan perihal rumah kawan kita yang baru semalam kena rompak.


'Tengok...tengok' Hj Muhalim melihat gambar-gambar yang di hantar oleh Dato' Noordin kepada saya.


'Kau bayangkan kawasan rumah dia tu Gated & Guarded, tapi macam mana boleh orang masuk dan punggah habis barang kat rumah dia.' kata saya tentang tahap security yang terdapat di kawasan Gated & Guarded sekarang ini.


'Dia masih di Tropicana ke atau  kat mana?' Tanya Hj Muhalim.


'Ni rumah lain...kat Damansara...banglo gak la.'


'Kat kawasan rumah aku...belakang rumah aku la...kena juga...daylight house breaking...' Hj Muhalim menceritakan tentang kejadian pecah rumah di kawasan rumahnya yang juga merupakan Gated & Guarded.


'Kalau kawasan Gated & Guarded pun dah kurang selamat, apa lagi kawasan perumahan yang tak ada langsung security. Kat sek 8 tu kira tak sampai 5 minit dari IPK selangor pun kena rompak gak.' kata Mazlan yang rumahnya hanya beberapa meter saja dengan IPK Selangor.


'Imam, kat rumah kau tu sek 9 banglo gak tak ada security tapi ok pula' kata saya kepada Imam yang dari tadi mendiamkan diri.


'Rumah lama dia orang tak minat' ringkas saja jawapan Imam.


'Baru ni aku jumpa satu apek suami isteri...dia orang jual banglo pindah tinggal di kondo...dia kata lebih selamat' kata Mazlan.


'Ya betul...design kondo sekarang lebih canggih...macam kat Acapella tu...nak masuk pun kena guna 3 security card...dan hanya boleh naik kat unit kita jer...cam tu selamat la'  kata saya menambah perbicaraan.


'Taktik terbaru sekarang, dia orang datang waktu pagi, tekan loceng kalau tak berjawab dia orang akan masuk melalui tong sampah dan ada pula yang datang masa tuan rumah ada, kononnya rumah terpilih dapat hadiah dari syarikat tertentu...biasanya bawa hamper...buka pintu jer siap lah dia orang masuk.' kata saya tentang cara penyamun yang datang ke rumah masa kini.


'Kat sek 7, memang kerja orang yang sama...dia naik motobike dan tunggu, biasanya orang pompuan nak pegi hantar anak sekolah Tadika ke apa...ketika sibuk nak masukkan anak dalam kereta, masa tu dia orang mulakan operasi jahat...tu la kena pesan kat anak bini kena hati-hati...' Mazlan pula menambah.


'Kat Shell sek 9 tu pun pelik gak...biasa nya kalau pegi kaunter nak bayar isi minyak ramai yang tak kunci kereta...lepas isi minyak ...cantik jer ada mamat tersengih kat seat belakang dengan pisau..nak buat apa...serah barang la...macam-macam taktik sekarang ni' Imam pula menceritakan kes orang-orang yang pernah terkena samun di Shell sek 9.


Macam-macam topik yang di bincangkan. Biasa lah kalau berkumpul geng-geng warga emas ni, itu lah topiknya selain cerita politik dan pasal bisnes. Bukan remaja saja lepak, yang tua-tua pun melepak gak. Tapi orang tua melepak tak ada cerita macam mana, jalan mana kul berapa nak rempit...setakat cerita kisah semasa, seperti topik politik terkini dan jual beli tanah atau jadi 'project promoter' atau cari 'funder', yang sebenarnya tak pernah sangkut, kena tipu ada la...


'Order la minuman Imam' kata Hj Muhalim.


Sebentar kemudian waiter datang membawa minuman yang kami pesan. Saya minta 'len chi kang' sejuk, Hj Muhalim yang panas sementara Mazlan dah minum teh o.


'Saya pun bagi yang ni la...macam dia orang ni...yang sejuk ye'
Imam pun minta 'len chi kang' gak. 


Sambil mengeluarkan paipnya serta di isi tembakau untuk memulakan pembakaran tembakau nya, saya lihat dia guna tembakau Blend 11, memang tembakau ni ada pewangi, baunya memang harum. Masa kat Uni dulu saya pun hisap paip. Imam ni adalah seorang Guru Besar di sebuah sekolah di Shah Alam. Mazlan pula seorang kontraktor landskap dan Hj Muhalim pula ada ladang sawit. 



'Aku ni kalau kau nak hisap paip dalam kereta aku sebanyak mana pun hisap lah, aku suka baunya yang wangi...tapi kalu hisap rokok sori la, tambahan pula hisap curut, pantang aku baunya...keluar kereta aku jalan kaki la' Mazlan beria-ia benar menyokong Imam yang hisap paip.


'Pada hisap curut baik hisap paip. Curut dah la mahal ada sampai beribu sebatang, yang jenis Havana ke apa...tu semua status simbol bukan ada apa pun' Imam seperti setuju dengan pandangan Mazlan.


'Sebenarnya hisap paip ke, rokok ke, sisha ke, curut ke semuanya tak bagus...semuanya takde faedah sikit pun....hisap apa benda pun tak bagus...memudaratkan saja' kata  Hj Muhalim yang memang bukan perokok.


'Jangan lupa ada gak benda yang berfaedah untuk di hisap...kau tengok bayi...bila dapat hisap puting terus lena, tak meragam langsung....haa betul tak?' Sambil tersenyum tersengih beria-ia Mazlan berkata.


Saya tak tahu lah samada ada 'double meaning' di sebalik kata-kata Mazlan tadi tu. Tapi tak lah boleh saya hendak menuduhnya kerana apa yang di katakan itu memang benar belaka. Jadi terpulanglah ke atas diri masing-masing untuk mentafsirnya.


'Aku tengok kau makin merah muka, makin sihat Lim' saya berkata demikian kepada Hj Muhalim kerana memang semacam ada perubahan di wajahnya.


'Aku sekarang ni buat treatment guna 'bee sting'..ada sorang pakar ni dia dulu Akitek, berhenti  bela lebah madu kat Terengganu...ofis dia sekarang kat Bangsar...aku dah 2 kali pegi treatment'


'Macam mana kau kenal orang ni?' Imam bertanya Hj Muhalim.


'Dulu Pian la yang cuba dulu, dia ada masalah nak buang air kecil, tak lawas la, lepas kena 'bee sting' kat perut tu terus ok...dia yang cadangkan kat aku...cara treatment tu dia tak caj ikut 'sting', kalau China  sinseh tu di kenakan RM20 satu 'sting'...cara dia caj cuma kena beli Royal Jelly tu jer...aku kena satu line sebelah kiri ni 20 sting...'


'Tak sakit ke?..Aku dulu terpijak lebah rasa macam nak terbakar kaki, panas pedih, bengkak terus berdenyut gila' cerita saya tentang pengalaman terkena sengatan lebah.


'Ni takde sakit..3 minit tu bila dia letakkan sengat kat badan memang la pedih tapi sekejap jer...dia ni boleh ubatkan berbagai penyakit dengan cara ni...tempat dia penuh orang...'


'Kalau untuk orang lelaki ada ke ubat...?' Mazlan bertanya, beria-ia benar dia nampaknya.


'Kau ni takde lain' saya mencelah.


'Nak gak try kalau ada faedah apa salahnya kan'


'Ada gak...dia akan letak sting tu kat situ la...dia akan bengkak, besar tu maintain tapi sakit hilang, kira magik gak tu' Hj Muhalim berkata pada Mazlan sambil tersenyum sinis.


'Kau ni biar betul...nantikan Lan ni pegi bertempik lari lintang pukang pah kena sting tu...mesti kena taruk keliling tempat, nak ubah saiz, mahu seratus sting...boleh gila sakit' saya berkata dengan penuh geli hati. Imam pun turut ketawa.


'Kalau jadi betul Sam, 200 sting pun aku ok, sanggup' dengan sombongnya Mazlan berkata pada saya.


'Kau nak buat apa?...Bukan untuk kau pun yang syok...orang lain' Imam pula memberi pandangan.


'Aah tak kira..janji rock' boleh tahan gak lawak Mazlan ni.


Kami masing-masing ketawa sehinggakan tetamu di sebelah yang terdiri dari anak-anak muda memandang kami yang tua-tua ni dengan penuh kehairanan. Ya lah, kalau jantan jumpa sama jantan kena lak topik cam ni memang kecoh la..


'Kau tahu tak menurut pakar tu, untuk jadi  se liter madu, lebah-lebah tu kena menggunakan 4 juta bungaan. Bayangkan betapa khasiatnya madu asli tu..Sam, kau cuba buat research pasal  madu ni'


'Ok jer ...madu mana? Madu yang orang pompuan tak suka ke madu mana?' Jawab saya.


'Ya tak ya gak...silap bawa balik madu ke rumah nahas jadinya' Mazlan tiba-tiba masuk campur.


'Tapi on serious note..dalam Quran pun ternyata ada cerita tentang keberkesanan madu ni..maksud aku madu lebah la' saya menyatakan persetujuan dengan rasional kehebatan madu asli.


'Jadi dari sekarang kena la guna madu...jangan bagi tahu bini, makan sorang, bagi bini  heran apa macam sudah berubah wajah dan gaya dan tinggi semangat kesukanan hahaha...' Mazlan ni kira kelakar juga bila dia mengeluarkan pandangannya.


'Kau ni..takde kerja lain...tapi betul gak kalau dah sihat maka segalanya sihat la kan...hebat mu Lan.' Imam seakan bersetuju dengan pandangan Mazlan tadi.


'Semalam Dato' Mus VP RHB cari kau Imam..dia nak apa?' Tiba-tiba Hj Muhalim melontarkan pertanyaan pada Imam.


'Ooo dia promosikan skim pinjaman bank dia kat guru-guru sekolah, tapi tu la banyak guru-guru prefer Bank Rakyat...kadang-kadang sian gak bank sekarang ni kena wat promosi lak'


'Bank dah terlebih duit deposit...jadi dia orang kena buat bisnes untuk bayar interest depositor tu...masing bank ada target tahunan...macam bisnes biasa la' Hj Muhalim menerangkan sistem perbankan kini.


'Lim rumah kau kat Sinar Fadhilat tu dah jual ke lom?' Mazlan tiba-tiba bertanyakan Hj Muhalim.


'Minggu lepas ada orang tawarkan RM600k..aku bagi tahu harga tu sekarang ni nak beli rumah teres pun tak cukup...aku punya tanah 5000kp dengan rumah banglo lagi, sekarang pun aku sewakan RM1300 sebulan'


'Kau tahu tak Sam dulu Muhalim nak jualkan RM300k, masa tu dia beli baru RM100k..tapi aku tak nak masa tu...kau tahu kat mana tempat tu Sam?' Mazlan bertanyakan saya tentang tempat yang di maksudkan.


'Kalau kau beli dulu, sekarang ada setengah owner dapat offer RM800k...projek tu Sam yang jadi Planner ...tak bayar fees...pemaju tu kan kawan kau...' Hj Muhalim berkata sambil menjeling ke arah Mazlan.


'Banyak ke Sam dia orang tak bayar?' Mazlan semacam simpati pada saya.


'Campur semua sekali dengan lain scheme bawah kawan tu la, ada RM300k...dia tu kalau jumpa aku kat klinik Iskandar sek 10 terus cepat-cepat lari..kan dulu ofis aku kat sek 10.'


'Tapi kemana dia nak lari...kalau mati naya jer la hutang tipu orang merata' Imam yang dari tadi mendiamkan diri terus bersuara.



'Kalau orang ingat cam tu selamat la dunia ni..' Hj Muhalim pula menambah.


'Aku tak mau lah jadi cam tu lagi pun dalam umur cam kita ni...contoh la Lim kau tipu aku, kau dapat RM3 juta..seminggu pah tu meninggal, ingat 3 juta tu boleh tolong kau dalam sana...orang kencing atas kubur ada la pada nak sedekahkan fatihah' saya berhenti sambil menghirup 'len chi kang' yang semakin dingin lalu saya menambah....


'Tu la pasal bila makin tua makin dekat ke alam sana, makin gelisah dan tak tenteramlah jiwa dia...aku kan dah banyak kena tipu dengan kawan-kawan...Muhalim pun tau sapa...tapi aku tengok hidup dia orang bukan senang pun malah lebih sengkek dari aku...kawan kita tu Lim...yang tu...bila tengok aku drive sport car...dia pun cakap...wah hebat mu sekarang..aku balas balik ni aku beli duit aku tak tipu orang...terus cabut pah tu..'


Jam sudah menunjukkan 7 malam. Dah dekat waktu maghrib, Hj Muhalim tinggal di Bukit Jelutong jauh sikit daripada tempat kita orang. Sambil menuju ke parkir Hj Muhalim berbisik ke telinga saya.


'Hari Selasa kita pegi tengok tanah Dato' Ramli kat Sabak Bernam...macam biasa la aku ambik kau pagi'


'Ok, hari Selasa aku free'


'Malam Selasa tu pun kita kena jumpa Nordin Kumpau...geng Sabah tu...dia ada sini, dia baru bagi tahu aku tadi'


'Nordin yang mana tu?...Tak ingat aku'


'Alah yang kita naik kereta Mini Cabriolet kat KK tu..sumbat 5 orang dalam kereta kenit tu...ingat?'


'Oh yang tu...ye la ingat sampai bila-bila...naik kereta mini 5 orang sampai terseliuh leher...nasib baik town drive...kalau long distance mau aku jalan kaki...tak sanggup berhimpit-himpit cam tu...gila betul.'


Sambil  bersalaman kami menuju ke kereta masing-masing. Saya yang akhir keluar dari parkir. Hari ni hari minggu jadi dekat Shah Alam Mall ramai juga orang dan road side parking pun penuh. Saya membelok ke kanan menuju traffic light simpang ke Masjid Negeri. Saya kehairanan kerana tiada satu pun kereta di fast lane. Semua kereta berpusu ke arah kiri dan lane tengah.


Dari jauh saya melihat kepulan asap di atas jalan sebelah lorong laju/ fast lane. Api marak sambil mengeluarkan percikan demi percikan. Saya hairan dari mana datangnya api tersebut. Tak terlintas langsung dengan apa yang saya lihat selepas itu. Saya menurunkan cermin tingkap kereta sambil saya mendongak ke atas, baru lah saya tahu bahawa api yang sedang terbakar di atas jalan tu rupanya berpunca dari bulb street lighting yang terbakar. Kemungkinan juga terkena short circuit atau jua kerana lampu basah oleh hujan dan ada kebocoran yang menyebabkan kebakaran.



Apa yang nak saya kongsikan ialah bahawa kita kena sentiasa prihatin tentang persekitaran. Bahaya ada di mana-mana. Katakan lah waktu api mula-mula terbakar ada kereta di bawah tiang lampu tersebut dan kemudian bulb dan casing lampu tersebut jatuh ke atas kereta.




Sudah tentu akan terjadi malapetaka bukan sahaja kepada kenderaan tersebut tapi juga kepada penggunaan jalanraya yang lain. Tadi pun saya melihat seorang lelaki  menunggang sebuah motosikal membawa isteri dan anaknya dengan selamba menggunakan jalan yang sedang terbakar. Saya pasti yang beliau tidak perasan tentang serpihan lampu di atas kepalanya yang  sedang jatuh bertaburan. 

Saya berkata demikan kerana sesampai di lampu isyarat dia anak beranak menoleh ke tempat api yang sedang terbakar dan kemudian mendongak ke atas tiang lampu yang sedang memercikkan api ke bawah. Saya sepatutnya membelok ke kanan untuk menuju sek 8 tapi terpaksa menuju ke jalan Masjid untuk mengelakkan kereta yang berhimpitan membelok kekanan. Silap-silap kalau tak sabar boleh berlaku kemalangan jadi saya memilih jalan selamat walau pun terpaksa pusing dengan jarak yang agak jauh.


Kesimpulannya kita hendaklah sentiasa prihatin dan selalu peka dengan persekitaran dan juga kerenah pengguna jalanraya serta sentiasa berhati-hati walau pun kiranya kita rasa berada di tempat selamat seperti di parking lot, di shopping mall atau tempat-tempat yang tidak terfikir akan berlaku jenayah seperti tandas awam dan juga di pintu pagar atau pintu rumah sendiri. Hidup yang terdesak memungkinkan manusia bertukar perangai menjadi lebih ganas dari haiwan. Semoga kita sentiasa berwaspada selalu. Saya ingatkan ini untuk diri teman-teman semua jua untuk diri saya dan keluarga. Sama-samalah kita hindari dan benteras apa jua bentuk jenayah.

Wassalam. 













No comments:

Post a Comment