Sunday, 12 January 2014

MALAM PENUH BINTANG ...a fiction..(14).



Jam 8 pagi kami sekeluarga sudah berada di coffee house untuk sarapan.  Di luar tingkap saya dapati pagi masih berkabus. Penduduk di kawasan ini ramai yang  keluar untuk mencari rezeki. Kelihatan juga kelompok burung berterbangan, juga untuk mencari rezeki.


Teringat saya tentang pesan ibu saya bahawa kita hendaklah mencontohi unggas dan binatang yang keluar pagi. Di situlah rezeki  kita bermula. Tuhan menciptakan haiwan bukan saja untuk makanan dan membantu manusia mencari nafkah sebaliknya untuk menjadi iktibar kepada kita yang bernama manusia.


Kita di fardhukan untuk menunaikan solat subuh juga adalah sebagai tanda kita mensyukuri nikmat Allah yang memberi kita peluang untuk hidup seterusnya. Kita digalakkan berdoa untuk dirahmati dan sentiasa dilindungi dan dikurniakan rezeki yang halal. Indahnya aturan Tuhan untuk makhluk di bawah jagaanNya.


Gerai-gerai di tepi jalan besar masih belum ada yang di buka. Mungkin di buka sekitar jam 9-10 pagi setelah berpenat lelah sepanjang hari dan malam berniaga untuk sesuap nasi. Melihat ini semua saya merasa satu kedamaian yang tak tehingga. Betapa kehidupan di pedalaman ini menjanjikan satu kenikmatan berbanding kita yang di kota berlumba-lumba mengejar kekayaan material yang mungkin menjadikan seseorang lupa tanggung jawabnya sebagai hamba kepada Allah.


Kami memilih tempat duduk di sudut kanan coffee house untuk membolehkan kami menikmati keindahan pemandangan di lembah dan juga di pergunungan yang masih kelihatan membiru. Hari ini nampaknya kami bernasib baik kerana awan hanya sedikit sahaja melindungi puncak Gunung Kinabalu. Masih tiga perempat puncak gunung yang kelihatan cerah dan sebahagiannya berwarna keemasan oleh simbahan cahaya suria pagi.


“Selamat pagi….silakan,” tegur Suzanna sambil Monica membuka pintu.


“Pagi….sihat kamu?” Balas saya.


“Abang ni nape, selsema ke?” Suzanna bertanyakan pada Amer yang kelihatan memekup hidungnya dengan tisu.


Amer tak jawab sepatah pun cuma tersengih-sengih, malu ke poyo entahlah.


“Tanya abang ni saja , adik-adik abang ni tak tanya ke?” Sambil menuju meja, Amer tiba-tiba membalas pertanyaan Suzanna.


“Adik-adik ni memang sihat sentiasa dan cantik macam ibunya, putih melepak, kalau jadi orang dusun pun sesuai,” kata Suzanna merujukkan kepada Nisa dan Alia.


Untuk sarapan pada pagi ini, menunya secara ala carte kerana buffet tidak disediakan. Masing-masing membuat tempahan sendiri mengikut selera. Saya seperti biasa tak suka heavy breakfast. Yang lain-lain ada yang minta mee hoon goreng, mee goreng dan cereal. Minum waktu pagi begini mestilah yang panas-panas kerana cuaca sejuk.


Sementara menunggu sarapan di sediakan saya beredar kearah tingkap untuk melihat kalau-kalau ada sudut yang sesuai dan bagus untuk saya merakam gambar. Semakin ramai tetamu resort yang datang untuk sarapan. Nasib baik kami datang awal jadi boleh lah memilih tempat dan sudut yang terbaik untuk merakam gambar yang bagi saya sangat bernilai. Setiap hari keadaan panorama berubah mengikut keadaan cuaca dan awan serta matahari yang banyak mencorakkan wajah persekitaran Bundu Tuhan ini.


“Uncle ...Suzanna nak jumpa uncle jap.”  Monica menyatakan pada saya tentang hasrat Suzanna.


Saya pun berjalan sambil menuju ke arah meja cashier tempat Suzanna.


“Ya ada apa panggil saya…?”


“Bukan apa uncle…tak jump Lia ke?…Pagi tadi dia ada kat sini, dia datang minum kat dapur jam 7 tadi…katanya dia saja tak balik semalam, pagi ni nak jumpa uncle, nak ucapkan selamat tinggal.”


“Belum lagi jumpa Emilia, lepas sarapan nanti saya cari dia.”


“Ada apa-apa perkembangan ke uncle dengan dia ni?”


“Eiish kamu ni...dia tu dah pangkat anak atau cucu lah…jangan buat cerita sensasi kat sini pula.”


“Takde saya melawak je, cuma saya heran kenapa dia beria-ia sangat nak jumpa uncle.”


Sebenarnya saya tidak boleh menyalahkan Suzanna berfikiran demikian kerana dia tidak tahu kisah sebenarnya di sebalik keakraban di antara saya dan Emilia. Memang patut pun Suzanna hairan kenapa dan mengapa tiba-tiba saja Emilia sanggup tak balik rumah semata-mata ingin ketemu saya di hari saya sekeluarga ingin berangkat pulang.


Selepas sarapan, anak-anak dan Mem balik ke bilik untuk berehat serta berkemas kerana jam 12 atau 1 tengah hari nanti kami akan check out untuk balik ke KK bermalam sementara menunggu penerbangan pada hari berikutnya.


“Uncle, yang abang ni biar la dia tinggal lama lagi di sini,” kata Suzanna merujuk kepada Amer.


“Kamu tanya lah dia sendiri…kalau takut macam mana nak berkenalan.”


“Uncle ni orang minta tolong dia…di kenakan kita pula.”


“Awak datang KL nanti boleh cari saya, nanti saya boleh jadi tour guide kamu,” tiba-tiba Amer bersuara. Kelihatan merah padam muka Suzanna mungkin tak percaya apa yang baru didengarnya tadi.


“Pandai-pandai kamu lah lepas ni…saya ni ok je…kamu orang muda,” kata saya seolah-olah merestui tindakan mereka.


“Terujanya…seronok sangat ni…bila la dapat peluang boleh pegi KL ni...tapi nombor tak kasi…mana nak contact?”


“Kena la guna kreativiti,” Amer bersuara sekali lagi sambil keluar dari pintu yang separuh terbuka, macam jual mahal dan tunjuk macho la konon.


“Macam mana ni uncle?” Sahut Suzanna.


“Macam mana apa nya…kamu ni...kalau dia cakap macam tu  maknanya kena lah guna kepandaian kamu macam mana nak hubungi dia. Green light dah ada tu.”


"Saya tahu tapi macam mana?”


“Kamu ni…kan kamu boleh dapatkan contact number saya kat Liz, kan semua info sampai kan ke K/P pun ada situ.”


“Aduh.. bodohnya saya.”


“Bukan bodoh tapi panik la tu.”


Dan kami sama-sama ketawa kelucuan.


Sementara anak-anak dan Mem berehat di bilik, saya seperti selalu mengambil masa untuk merokok sambil menikmati pagi yang indah di sekitar reception counter. Saya nampak Elizabeth dan Emilia berada di sana. Elizabeth masih dekat kaunter sementara Emilia sedang duduk di atas pangkin di ruang rehat reception counter.


“Morning girls…dah sarapan ke lom ni…muka berseri je.”


“Banyak lah seri, mendung dan hujan dah nak datang ni,” jawab Elizabeth.


Saya berjalan kearah Emilia yang masih duduk ketika saya menghampirinya.


“Semalam ok boleh tidur nyenyak ke?” Sapa saya pada Emilia.


“Ada orang boleh tidur nyenyak sampai dengkur uncle, maklumlah selepas bercengkerama malam tadi,” kata Elizabeth semacam perli kami berdua.


“Tu di tujukan khas kepada siapa?” Tanya saya pada Elizabeth.


“Kepada sesiapa yang berkenaan...ada yang terasa ke?” Sahut Elizabeth.


“Tuduhan berasas ke tuduhan palsu tu?” Jawab saya balik.


“Asas yang kukuh…”


“Buktinya!” saya terus menyoal Elizabeth.


“Ada orang menangis pagi tadi…tu lah buktinya,” selamba jawab Elizabeth.


“Mungkin dia sakit kaki sekali lagi kot? “ Kata saya sambil menjeling kearah Emilia yang masih tunduk mendiamkan diri.


“Kaki dan hati sekali gus.” Elizabeth semacam memperli Emilia.


“Kamu pandai-pandai reka cerita,“ kata saya sambil melirikkan mata kearah Elizabeth.


“Dari raut wajah pun dah dapat baca yang orang tu sedang menderita.”


Begitulah dialog antara saya dengan Elizabeth sementara Emilia senyap saja melihat kearah kami berdua. Sepatah pun perkataan tiada yang keluar dari mulutnya.


“Nape diam je ni?”


“Dah uncle tengah berdrama dengan Liz tak nak lah Lia enter frame.”


“Oo… kira tunggu giliran lah ni ye.”


“Pandai pun uncle ni…”


“Cakaplah puas-puas Lia, kejap lagi dah tak boleh nampak muka uncle ni…kalau nak apa-apa nak cakap pun sekarang ni la.”


Tiba-tiba keadaan menjadi bening dan sunyi. Samada Elizabeth  atau Emilia dan saya semua terdiam tanpa sesiapa yang membuka kata. Mungkin mereka berdua sedang memikirkan sesuatu yang saya pun tak tahu puncanya, mungkin ada kena mengena dengan tutur kata Elizabeth sebentar tadi. Betul kata Elizabeth tadi entah berapa jam lagi kami semua akan berpisah. Entah bila bisa ketemu lagi.


“Saya akan datang lagi dan harap-harap kamu masih di sini,” saya berkata memecahkan kesunyian.


“Mana lagi kami nak pegi uncle, di sini lah tempat kami,” celah Elizabeth.


“Kamu di sini pun tak lama.”


“Kenapa uncle cakap macam tu?” Emilia bertanya semacam teruja.


“Ada la sebabnya…kamu berdua akan saya culik dan bawa lari.”


“Uncle tak payah nak culik kami…dengan rela hati kami ikut uncle...ooopps, Liz akan ikut uncle tapi tak tahu dengan seorang lagi yang sedang sugul tu nak ikut ke tak?” Kata Elizabeth macam memerli Emilia.


“Sebelum kau ikut uncle aku dulu yang dah sampai kat pintu rumah uncle,” tiba-tiba Emilia mencelah.


“Eloklah tu Lia nanti kena pelangkung kepala kau tu…”


Emilia tersengih mungkin kerana tersilap cakap nampaknya.


“Nape terdiam...betulkan cakap aku tu?” Sahut Elizabeth.


Masa ni tak ada orang check in kerana ramai yang nak check out daripada yang datang kerana check in. Check out time ialah jam 12 tengah hari. Jadi waktu ini banyaklah masa terluang bagi pekerja dekat reception counter, boleh lah mereka berehat sementara menunggu tetamu  check in. Kebiasaannya waktu selepas tengah hari sampai petang mereka ini akan sibuk. Elizabeth, selepas mengemaskan meja dekat kaunter terus datang ke tempat saya dan Emilia berada.


“Duduk lah Liz, masa orang tak ramai ni boleh lah cerita-cerita,” pelawa saya pada Elizabeth.


“Jual mahal la tu uncle,” kata Emilia.


“Mesti la, tak kan murah kot macam sayur lelong,” balas Elizabeth.


“Tak semesti benda murah tak elok,” kata saya membuka perbualan untuk melihat apa reaksi mereka berdua.


“Liz suka yang mahal…ada kelas.”


“Kamu Lia mana satu kamu suka …murah atau mahal?” Soal saya pada Emilia yang nampak sedikit keliru.


“Liz… dengan uncle ni kau kena berhati-hati cakap, silap sikit jer habis kau kena jual.”


“Saya tanya apa pandangan kamu…mungkin kamu ada pandangan berbeza…saya tak tau,” soal saya lagi kepada Emilia.


 “Lia pun sama juga macam Liz, yang mahal la ada kelas…apa saja rumah, kereta, apa saja lah kalau yang mahal tu mesti terbaik.”


“Kalau saya kata yang murah tu terbaik…macam mana?”


“Reasoning…?” Tanya Emilia.


Saya teringat semalam semasa bersembang dengan Lia saya ada sebut perkataan reasoning. Rupanya cepat pandai Emilia ni…


“Reasoning nya ….mana yang terbaik orang kaya yang kedekut dengan orang kaya yang pemurah…?” Jawab saya seolah melontarkan balik persoalan.


Masing-masing Elizabeth dan Emilia tercengang sambil melihat ke arah satu sama lain.


“Aku dah cakap Liz kita kena berhati-hati dengan mangkuk hayun ni…akal dia panjang…..yang salah boleh jadi betul kerana dia hebat dengan reasoning nya.”


“Saya tak cakap benda yang mahal tu tak bagus tapi kena tengok penggunaannya…kalau mahal dari segi material yang boleh buat orang jadi sombong, bongkak tu dah masuk bab yang tidak baik buat manusia semua.”


“Maksud kami tadi mahal yang positif la..,” kata Emilia.


Emilia seolah-olah ingin menguatkan hujah bahawa jawapan mereka itu betul.


“Kalau yang tu tak apa lah…kamu pernah dengar CSR.”


“Apa dia tu uncle?” Elizabeth bertanya kerana tak tahu apa yang saya maksudkan.


“CSR…..Corporate Social Responsibility…macam buat amal jariah lebih kurang  macam tu la.”


“Apa kena mengena dengan apa yang kita cakap ni?” Sekali lagi Elizabeth bertanya.


“Kamu pernah dengar Oprah, Bill gates, Mark Zuckerberg?”


“Tahu, kita tahu lah siapa dia orang tu.” Emilia pula berkata.


“Dia orang ni lah orang-orang yang banyak buat kerja-kerja philantrophy…menderma.”


“Uncle jangan kelentong pulak….dia orang tu billionaire lah uncle,” jawab Elizabeth macam takut sangat saya menipu dia.


“Betul billionaire…tapi dia orang bagi balik harta dia orang melalui CSR la...dia orang bina sekolah, bantuan kesihatan dan lain-lain untuk negara-negara miskin, kebanyakannya di Afrika,” lalu saya meneruskan lagi penerangan saya berkenaan perkara tersebut….


“Ada kamu pernah dengar billionaire kita yang buat CSR ni…saya tak tau la mungkin ada secara diam…kalau ada bagus lah.”


“Ya tak ya juga…ada lah mungkin tapi tak ramai.”


Elizabeth seperti mengiakan apa yang saya katakan.


“Kekayaan dia orang dapat tu datangnya dari mana?…Mesti dari bumi ini…bermakna tu bumi kita semua…tapi selepas kekayaan tu di raih mula lah lupa diri….memang sifat manusia jadi tamak dan sombong…..macam Qarun…”


“Qarun tu sapa uncle?”


Saya dapat mengagak yang Elizabeth tak tau siapa Qarun ni…saya pun kurang pasti samada cerita Qarun ni ada ke tidak dalam kitab Injil.


“Zaman dulu ada cerita dalam Quran…Allah bagi Qarun ni jadi sangat kaya sampai dia bongkak dan akhirnya di telan bumi…samalah dengan kes Firaun yang mengaku dia Tuhan…ni semua jenis manusia yang tak tahu bersyukur.”


“Hairan juga ya...orang kaya ni duit banyak, tapi dia nak buat apa sebenarnya...mati tak bawa pun duit tu, kalau derma kan bagus ada gak orang yang ingat kan kita.” Keluhan Elizabeth itu ada kebenarannya.


“Ada sorang billionaire dari Negara China...saya pernah baca pasal dia…falsafahnya senang saja…katanya kalau kita ada segelas air, maka air tu diminum sendiri, kalau ada sebaldi, air tu dibawa balik rumah untuk keluarga, tapi kalau air tu dah macam sungai maka air tu hendaklah di kongsi ramai-ramai…dia ni, hasil kekayaannya banyak digunakan untuk CSR dan cuma sebahagian saja diperuntukkan untuk keluarganya,” terang saya kepada mereka berdua dengan panjang lebar.


“Panjang tapi syok...berfaedah sangat ilmu ni,” kata Elizabeth.


“Kamu cakap elok-elok, jangan tersalah cakap nanti keluar lah yang triple meaning dia tu…”


Mendengar kata-kata yang di lontarkan oleh Emilia itu, terasa benar lucunya dan kami semua ketawa.


“Tu kamu yang cakap, bukan saya…masalahnya susah dengan kamu berdua ni kerana cepat sangat pandai...apa yang saya cakap kamu guna pakai…boleh kalah saya,” jawab saya kepada statement daripada Emilia tadi.


“Ke mana tak tumpah kuah mesti lah ke nasi walau pun nasi tu nasi beli bukan yang di masak sendiri…boleh faham ke tu uncle?”


Saya dapat meneka yang maksud Elizabeth dengan kenyataannya itu bahawa ilmu tertumpah kepada mereka walau pun mereka bukan lah ahli keluarga saya.


“Kesimpulannya tak semesti benda murah itu tak baik…malah sangat baik…kalau kita berdoa untuk rezeki…apa doanya...mestilah Ya Allah murahkan lah rezeki hamba mu ini, tak pula orang minta…mahalkan lah rezeki hamba mu ini…ada ngerti?”


“Kan aku dah cakap Liz, setiap benda yang kita musykilkan mesti ada saja jawapannya….dalam kelakar pun mesti ada yang logik boleh akal kita terima…mana lah ilham yang dia dapat ni?”


“Satu lagi kita jangan jadi orang jenis extrovert tapi hendaklah introvert…ni mesti tak pernah dengar...dah nampak macam orang bengong kelu…hahaha…”


“Bengong kelu di katanya kita Lia…memang lah tak pernah dengar tapi ini dah lebih mengata…tu kira extrovert la macam tu…main teka jer tu.”


“Hebat kamu ni ye Liz…tepat jawapan tu…ok biar saya terangkan…introvert ni adalah orang yang selalu berhati-hati dalam perbuatannya macam kalau berbelanja dia berkira dan di hitung dengan kemampuannya, tidak membazir sebaliknya extrovert ni jenis yang berlebihan dalam segala hal. Kalau berpakaian, bersolek, berbelanja mesti buat benda yang membazir dan menunjuk-nunjuk…”


“Kira tekaan kau tu Liz tepatlah menggambarkan uncle ni jenis extrovert…padan muka…teka pun kadang-kadang mengena target…bulls eye lagi tu. Bertuahnya kita hari ni Liz, bukan senang nak kenakan uncle ni.”


“Eewah makin pandai kamu ni…kalau sebulan dengan saya boleh khatam.”


“Khatam tu apa uncle?...Bukankah orang yang masuk Islam kena khatam dulu,” kata Elizabeth dengan selambanya.


Kami ketawa termasuklah Elizabeth yang bertanya tadi. Dia nampak kehairanan kenapa Emilia dan saya ketawa berdekah-dekah.


“Kamu jawab Lia,” saran saya kepada Emilia.


“Cik Liz oooi…khatam ni maknanya macam dah tamat, dah graduate la…kalu khatam Quran tu maknanya dah tamat dah pandai baca dengan betul…yang maksud kau tadi tu bukan khatam tapi tu berkhatan…bersunat…potong lembu,” jelas Emilia.


“Ooh kalau orang nak potong lembu kita panggil khatan lah ye?” Elizabeth bertanya, saya tak tahu lah samada dia saja-saja main atau dia betul-betul tak tahu.


Sekali lagi saya dan Emilia ketawa kerana tak dapat ditahan-ditahan kelucuannya.


“Maksud Lia tu bukan potong lembu betul….potong muncung lembu…Lia nanti malam kamu explain kat dia…” kata saya pada Emilia yang masih menyeringai menahan kelucuan.


“Ya tak ya …takkan kau nak suruh uncle tunjuk pula…,” jelas Emilia dengan selambanya sambil tersenyum bila memandang kearah saya yang sedang mengerutkan muka.


“Aaik sudah lebih kau ni Lia…tapi pastikan Liz faham nanti dia silap cakap kat orang lain boleh malu kamu.”


“Ya besar kemaluannya,” kata Elizabeth, saya tak tau samada dia sengaja atau tak tentang perkataan kemaluan ni.


“Kamu tahu ke apa erti kemaluan tu Liz?” Saja saya bertanya untuk kepastian.


“Malu besar la…apa lagi.”


“Lia, nanti malam  kamu bagi tahu dia apa maknanya,” kata saya kepada Emilia yang juga nampak seperti orang yang sedang keliru.


“Lia pun fikir macam Liz juga uncle.”


“Oh  ni dah berat..dua-dua besar kemaluan kamu.”


Saya tak dapat menahan geli hati bila teringatkan saya tersalah cakap tentang besar kemaluan mereka berdua. Kalau mereka faham mesti kena lepuk lagi saya. Kali ini kalau lepuk kiri kanan mahu demam di buatnya.


“Kenapa uncle...salahkah perkataan kami tu…?” Elizabeth semacam tak puas hati.


“Lucah,” ringkas saja jawapan saya.


Sambil mereka berdua berpandangan sama sendiri.


“Kemaluan tu maknanya bahagian sulit lelaki dan perempuan...kalau kamu tak faham lagi, susahlah nak terangkan.”


Tiba-tiba Emilia dan Elizabeth ketawa sambil menggeleng-gelengkan kepala.


“Tapi dalam sinetron Indonesia selalu kami dengar di sebut perkataan tu...abih macam mana tu?” Elizabeth ni rajin sangat bertanya.


“Mungkin betul kamu cakap tu…contohnya kalau di Indonesia jika dikatakan perkataan butuh itu bererti perlu…butuhkan sesuatu maknanya mahu atau perlukan sesuatu tapi kalau kat KL itu perkataan sangat lucah.”


“Kenapa uncle?”


“Kenapa kamu kata…butuh tu di maksudkan…atau benda yang  di rujukkan kepada bahagian sulit untuk lelaki…faham?”


“Peliknya kan…,” kata Elizabeth.


“Sama juga kat Kelantan kalau bahagian bawah/base periuk…orang Kelantan panggil pantat periuk, kalau menyelam kat sungai dia orang cakap menyelam sampai pantat sungai….tapi bagi orang di luar Kelantan perkataan pantat tu di rujukkan kepada bahagian sulit kaum wanita…silap cakap orang ingat kita kurang ajar.”


“Oooooh…macam-macam lah  ya…,” ujar Elizabeth semacam kehairanan sedangkan Emilia terkelip-kelip tanpa sebarang kata.


“Tu yang buat saya teringat, bila salah sorang kamu bagi tahu saya bahawa kita kena pandai sesuaikan dengan adat budaya setempat, silap cakap orang boleh kecil hati atau sampai bermasam muka pada hal tidak di maksudkan seperti apa yang orang fikirkan.”


Elizabeth melabuhkan punggungnya di sebelah kanan saya sementara Emilia pula di sebelah kiri saya. Saya kini di apit oleh dua orang bidadari Bundu Tuhan, geli geleman segala sendi rasanya.


“Semalam kamu kata ada tragedi berlaku..,” saya bertanya kepada Emilia untuk dia sambung balik ceritanya sementara masih ada waktu.


“Tragedi apa tu?” Tanya Elizabeth yang semacam kehairanan tak tahu hujung pangkal cerita.


“Oh semalam ada aku ceritakan pasal kita bertiga…kau, aku dan Haikal,” jawab Emilia.


“Macam cerita bersiri saja ni,” balas Elizabeth.


“Kau ingat tak Liz kita bertiga dari resort ni berjalan menuju ke rumah…..kan hari tu kita ajak Haikal minum petang kat rumah…”


“Ingat...ingat…hari tu kita dua–dua cuti kerana nak meraikan Haikal yang nak balik KL beberapa hari lagikan.”


“Tu la yang aku ceritakan pada uncle semalam…masa Andry datang serang Haikal…maksud aku tu la tragedi nya.”


“Kau dengan uncle bercerita sakan la pasal kita ye.?” Ujar Elizabeth yang sememangnya tidak tahu menahu yang kami berdua malam tadi berborak panjang.


“Sebenarnya saya yang minta Lia ni ceritakan kerana saya teringin nak tahu siapa Haikal tu….kamu kata dia tu macam jelmaan saya kan.”


Elizabeth nampaknya teruja dengan apa yang kami, Emilia dan  saya bualkan pada malam semalam lalu dia pun membuka cerita..


“Masa tu kami tengah seronok sembang-sembang menuju ke rumah, Lia pula tak boleh jalan laju kakinya masih sakit….jadi kami berjalan perlahan-lahan, kadang-kadang Lia ni di pimpin oleh Haikal...ya la saja nak menggatal...sakit kaki tu sebenarnya dah kira ok pun…”


“Kau ni aku belum sepenuhnya pulih la…dengki tu dah biasa la buat Liz uncle,” ujar Emilia sambil tersipu-sipu.


“Dah mula la episod anjing dengan kucing ni,” kata saya.


“Kami masih ingat lagi masa tu tiba-tiba muncul dua buah motosikal dengan empat orang budak nakal Bundu Tuhan ni……” Elizabeth memulakan flash backnya.


‘Sekarang kita dah dapat peluang terbaik nak kerjakan orang jauh ni.’


“Begitulah ucap Andry sambil tiga lagi rakannya turun daripada motosikal.” Emilia pula menyambung cerita.


“Apa jadi lepas tu?” Saya ingin sangat tahu kisah selanjutnya.


“Uncle ni sabar la…Haikal masa tu macam terpinga-pinga tak tahu hujung pangkal,” tambah Elizabeth.


‘Hoi kamu monyet sarkis…datang kat tempat orang jangan nak tunjuk lagak…ni tempat kami punya…lu punya tempat KL sana...ingat kami ni takut sama orang bandar?…Tengok orang la woooi.


‘Saya tak faham maksud kamu orang ni, saya tak rasa buat apa salah pun’


“Begitu lah jawab Haikal yang masih keliru kenapa Andry dan kawan-kawannya marah sangat dekat dia…..kemudian Lia jerit dekat mereka berempat.”


‘Kamu semua ni kenapa.. Andry?…Kamu ni beria-ia benar..dia tak buat salah dengan kamu pun, dia yang banyak tolong masa aku sakit…’ sambil memandang Elizabeth, Emilia meneruskan…


“Macam tu lah Lia bagi tahu si Andry tu supaya jangan kacau Haikal…tapi uncle, si Andry mula naik darah….dia tu memang budak nakal kat sini…Lia pun risau juga takut di apa-apakan Haikal tu.”


‘Kamu dua orang ni tak payah nak banyak cakap….seronok lah kamu kena peluk, ini kampung la bukan nya KL, jangan nak tunjuk biadap kat sini. Hormat lah sikit kat orang sini jangan buat mata kami ni berbulu’


‘Andry…kau tau tak Lia ni sakit, dia mana larat nak berjalan…orang dah nak tolong pun dah kira ok la…kau sakit hati ni kenapa?’


“Macam tu lah Liz jeritkan kat dia orang…sebenarnya Andry dan kawan-kawannya  pernah nak tackle kita orang tapi kita orang tak nak layan..ya la kerja pun tak ada mak bapak dok suapkan, dia orang pagi petang dok ukur jalan…vroom sana vroom sini..orang kampung pun naik menyampah,” cerita Elizabeth lagi.


‘Saya minta maaf lah, tapi cara kamu kata kami ni biadap itu saya tak boleh terima lah’


“Haikal pun menyatakan apa yang dia rasa, kena tuduh macam tu bengang lah dia,” kata Emilia.


‘Oooh kata biadap tak boleh terima ye…ni dia kalau kau nak rasa’


“Masa tu Lia berdiri di sebelah Haikal, terus Andry menumbuk muka Haikal dan Lia pun terhuyung hayang kearah belakang, nasib baik Liz tolong selamatkan dari terjatuh, tapi Haikal ni kuat orangnya uncle…bukan dia yang kena tumbuk sebaliknya Andry yang di tempeleng oleh Haikal.”


Kemudian Emilia menambah…


“Mereka berdua saling tumbuk menumbuk dan tendang menendang…Andry ni pun kuat juga uncle, dia dulu instruktur Tae Kwon Do kat kampong ni…Lia tengok mereka berlawan macam dalam filem Ong Bak tu…Haikal ni macam Tony Jaa pantas betul, dah berapa kali Andry tumbang di kerjakan oleh Haikal.”


‘Saudara, saya tak mahu sapa-sapa yang cedera nanti, kamu serang saya ni pun kerana salah apa, saya pun tak faham, saya tahu kamu marah bila kami bertiga seronok bersiar-siar tapi kami tak kacau orang pun’


“Belum habis Haikal cakap satu tumbukan melayang ke muka Haikal tapi dapat Haikal tepis….Andry memberi isyarat kepada dua orang lagi kawan-kawannya untuk menyerang Haikal, masa tu Lia pun dah mula panik…Lia suruh Liz cepat-cepat telefon uncle Roni..”


Elizabeth mengambil nafas sebelum meneruskan bicara.


“Haikal ni memang hebat lah mempertahankan diri, cuma yang Liz risau masa tu takut-takut Andry dan kawan-kawannya menggunakan senjata, Haikal ni seorang diri, dia orang bertiga masa tu…yang seorang lagi masih kat atas motosikal…Liz tengok ketiga-tiga mereka yang menyerang Haikal jatuh ke dalam longkang…semasa Haikal membongkokkan badan melihat tiga orang tu dalam longkang…tiba-tiba yang atas motosikal tu meluru dengan lajunya melanggar belakang Haikal….masa tu uncle, kami berdua menjerit sekuat hati…Haikal terjatuh dan kepalanya terhantuk tebing pagar…”


‘Lari..lari…lari’


“Begitulah Andry mengarahkan kawan-kawannya lari setelah nampak uncle Roni dengan kawan-kawannya datang ke tempat kami. Lintang pukang mereka berempat lari sambil meninggalkan motosikal yang satunya telah terbalik ke dalam longkang dan satu lagi tersadai di tepi jalan.”


‘Awak ok ke…eh…kepala ni berdarah, Liz kau ambilkan kain ikatkan kat kepala Haikal ni, makin banyak darah keluar ni’


‘Saya ok sikit je ni.’


“Sambil Haikal memegang tempat kepalanya yang masih berdarah. Lukanya agak dalam di sebelah dahi kiri di atas telinga sebelah kening kiri…kesian pada Haikal tak pasal-pasal kena pukul di sebabkan kami berdua.” Jelas Emilia tentang peristiwa yang baru berlaku itu.


‘Bawa dia ke rumah, kita tengok macam mana lukanya’


“Uncle Roni menyuruh kami berdua membawa Haikal naik ke rumah…Lia terpaksa berjalan perlahan-lahan di belakang kami berdua sementara Haikal berpaut kepada Liz dan uncle Roni mengarahkan kepada kawan-kawannya untuk pergi mencari Andry dan kawan-kawannya.”


‘Liz kau tolong ambilkan bantal biar Haikal baring dan bolehlah kita ikat kepalanya ni dengan kain untuk menahan darah mengalir keluar, aku takut nanti kalau banyak sangat darah yang keluar Haikal ni akan jadi lemah dan mungkin boleh pengsan’


“Kami berdua membaringkan Haikal di ruang tamu rumah sementara menunggu uncle Roni tiba untuk tindakan selanjutnya. Kami dah panik tak tau nak buat apa,” kata Elizabeth.


‘Kita bawa dia pergi klinik, tak boleh di biarkan macam ni’


“Uncle Roni meminta bantuan uncle Steven untuk menghantar Haikal ke klinik di Ranau, Liz ikut sama sementara Lia tunggu saja di rumah,” jelas Elizabeth.


“Lia yang kat rumah ni berdoa agar kecederaan Haikal taklah parah sangat dan susah hati Lia memikirkan tentang nasib yang menimpa Haikal sebentar tadi. Dalam keriangan kami bertiga menuju rumah, lain pula yang jadinya. Orang yang baik seperti dia tak sepatutnya menerima nasib sedemikian, Lia terkilan sangat kerana apa yang berlaku kepadanya sungguh menyedihkan, dia sebagai perantau di sini sepatutnya di layan dengan baik oleh penduduk di sini…dia ke sini pun untuk membuat kerja yang bersangkutan dengan masyarakat di Ranau ini. Kurang ajar betul Andry dan kawan-kawannya itu.”


‘Saya terasa pening la…saya nak baring kejap?’


“Haikal dan Liz duduk kat seat belakang sementara uncle Roni dan uncle Steven di depan...Liz memautkan kepala Haikal ke atas bahu Liz, dan Haikal semacam terlena, Liz risau juga takut dia pengsan ke apa, dan Liz minta uncle Steven memecut keretanya agar cepat tiba di klinik…uncle tahu lah jalan ke Ranau tu bengkang bengkok dengan selekoh yang tajam…masa tu Liz pegang tangannya untuk merasa nadinya….risau yang teramat.”


‘Kamu jaga kain pengikat kepalanya tu supaya jangan tercabut, kalau tidak susah nanti darah keluar makin banyak, jaga betul-betul’


“Uncle Roni mengingatkan Liz untuk menjaga kain pengikat kepala supaya tidak terlondeh…dalam perjalanan tu uncle Roni asyik menyumpah pada Andry dan kawan-kawannya dan dia berkata pulang dari klinik nanti dia nak adukan perkara ni kepada ketua kampung, kerana katanya ini adalah satu hal yang sangat memalukan bagi penduduk kampung Bundu Tuhan, sementara uncle Steven pula menganggukkan kepala tanda bersetuju dengan uncle Roni.”


‘Kita dah sampai ni, kamu kejutkan Haikal tu perlahan-lahan jangan sampai dia terkejut’


‘Haikal…Haikal…bangun…bangun..kita dah sampai di klinik ni..’


“Kami bertiga mengeluarkan Haikal dari kereta, dan uncle Roni menguruskan pendaftaran sementara Liz memegang tangan Haikal untuk memberi semangat dan kekuatan pada dirinya. Liz pegang tangan Haikal tapi tak ada apa-apa niat pun selain membantu….uncle tengok Lia dah mula jealous tu…hahaha…”


Saya lihat Emilia mencebikkan mulutnya kearah Elizabeth sambil berkata.


“Sebenarnya uncle Liz tu saja nak ambik peluang, masa tu lah dia cipta macam-macam cara macam mana nak merasa tangan Haikal yang macho tu…buat-buat tolong konon…dia nak balas dendam pada Lia yang Haikal selalu memegang tangan Lia ketika berjalan pulang ke rumah tadi…menyampah betul lah pakai taktik kotor macam Liz ni.”


“Kau tu asyik dengki manjang dengan aku bila bersama Haikal...kau tahu Lia, saat paling manis dalam hidup aku ni ialah bila bersama Haikal dalam kereta pergi dan balik dari klinik…kita orang kat belakang kereta tu asyik berpegangan tangan dan Haikal dengan manjanya meletakkan pipinya ke bahu aku…itu lah saat manis yang tak terlupakan.”


“Sudah-sudah lah kamu ni…tu kan cerita lama, semua tu dah jadi kenangan…apa nak kecoh lagi,” saya mencelah setelah melihat Emilia mula merah padam mukanya.


“Terbawa-bawa pula dengan kisah silam tu…tapi masih segar segala ingatan…kau Liz jangan nak buat aku naik angin dengan cerita-cerita bodoh rekaan kau tu…”


“Alah Lia, tu memang betul kenangan terindah aku, bukan rekaan tapi yang benar,”


“Cukup lah tu kamu berdua ni…saya nak dengar cerita kamu, kalau asyik nak bertekak macam ni bila nak habis cerita ni.”


“Maaf kan kami uncle…dah jadi macam bodoh pula kami ni ye.” Celah Elizabeth sambil memandang kepada Emilia. Dan mereka berdua akhirnya ketawa semacam geli hati.


‘Apa kata kita buat report polis sajalah…kamu setuju ke Haikal?’


“Uncle Roni memberikan cadangan sambil bertanya kepada Haikal. Lia dah sediakan tilam dan bantal untuk Haikal merebahkan badan setelah kembali dari klinik tadi. Nasib baik tak serius luka di kepala Haikal cuma kena tujuh jahitan saja, tapi doktor menasihatkan Haikal membuat pemeriksaan lanjut untuk mempastikan tiada internal injury yang mungkin akan melibatkan lain-lain organ…takut juga Liz kalau-kalau terjadi perkara yang tak di ingini…”


‘Saya rasa tak payah lah kita buat laporan polis…lagi pun kecederaan saya tak serius...saya ok…saya maafkan dia orang yang serang saya tadi’


‘Mana boleh macam tu…budak-budak tu kena ajar…biar polis datang siasat baru padan dengan muka dia orang’


‘Tak apa lah uncle saya tak nak panjangkan cerita, saya harap dia orang semua tu tak ulangi lagi buat perkara yang sama’


“Lia berdoa sangat supaya tidak ada apa-apa yang berlaku keatas Haikal selepas kejadian petang tadi tu, kalau lah ada apa-apa yang buruk  terjadi, maka Lia akan merasa sangat bersalah dan berdosa pada diri Haikal kerana apa yang terjadi bersangkut paut dengan diri Lia."


“Uncle tau tak, malam tu Lia dan Liz sama-sama ke dapur untuk masak yang istimewa buat Haikal, mula-mula kami cadang nak buat menu Kadazan tapi terfikir balik nanti Haikal tak makan kerana tak terbiasa dengan masakan ala kampung cara orang Kadazan…dan kami berpakat masak yang simple seperti tumis sayur cekur manis, dan goreng ikan sungai…ada ikan kelah kebetulan uncle Roni ada bawa balik pada petang semalam…”


‘Kenapa dengan kamu Haikal? Siapa yang buat hal dengan kamu ni?…Kurang ajar betul’


“Kami dengar suara auntie Mary yang baru balik dari gerainya. Hari ni dia tutup awal mungkin tadi uncle Roni hilang sekejap untuk memberitahu auntie Mary tentang apa yang terjadi.”


‘Tak ada apa-apa auntie sikit jer ni, saya ok’


‘Kamu berehat dulu ye, auntie nak tengok apa budak-budak tu masak’


‘Tak payah susah-susah auntie, saya pun dah nak balik ni, lagi pun pakaian saya ada kat resort tu…saya nak solat tapi seluar saya ni dah kotor dan ada kesan darah pula tu’


“Terdengar apa yang Haikal bualkan dengan auntie Mary tadi, Lia terus keluar kerana takut pula Haikal betul-betul balik ke resort sedangkan dia tu masih belum sihat betul pun.”


‘Haikal awak tak payah lah balik kat resort tu, kat sini pun ada kain pelikat yang Lia simpan, boleh lah guna untuk solat nanti…kita solat sama-sama ye…waktu maghrib pun dah nak masuk ni’


“Lepas tu Lia masuk ke bilik dan keluarkan sejadah serta kain pelikat dan Lia bagi tahu Liz dan auntie yang Lia nak solat bersama Haikal dan minta tolong dia orang teruskan memasak dan Lia akan tolong setelah selesai solat nanti.”


‘Awak tahu kan kita berdua saja solat maghrib ni, saya makmum ye’


‘Lebih baik lah berjemaah, banyak ganjarannya’


“Ketika melihat mereka berdua solat, Liz semacam ada satu perasaan yang tak dapat di gambarkan betapa tenang bila mendengar Haikal membaca ayat-ayat yang Liz tak fahami tapi kemerduan suara dan alunan irama yang di sampaikan sungguh menyentuh kalbu. Bila melihat Lia tunduk sujud di belakang Haikal aduh uncle betapa damainya mereka berdua kala itu menunaikan kewajipan mengikut anutan mereka berdua…yang paling Liz terasa syahdu bila mereka sujud di atas sejadah menyerah diri kepada Tuhan…teringin sangat masa tu uncle untuk Liz jadi sebahagian dari mereka berdua…selama ni Liz cuma nampak Lia solat bersendirian dan tak pernah dengar Lia melagukan ayat Al Quran seperti yang Haikal lakukan. Ni kali pertama Liz lihat macam mana orang solat beramai-ramai.”


“In sha Allah satu hari nanti jika hidayah datang kepada kamu mungkin kamu boleh jadi sebahagian dari apa yang kamu lihat itu. Allah akan membuka kepada sesiapa saja jalan dan pintu hidayah untuk menuju jalan yang di redhaiNya. Tak siapa yang tahu itu semua rahsia Allah.” Kata saya seakan berdoa untuk Elizabeth di bukakan pintu hidayah.


“Tersentuh hati Liz bila mendengar Haikal berdoa…Liz masih ingat beberapa perkataan yang di ucapkan dalam doanya…antaranya di ucapkan selawat ke atas Nabi Muhamad dan para Rasul, bermohon untuk di ampunkan dosa kedua ibu bapanya, di jauhkan dari api neraka, di murahkan rezeki, di kuatkan iman dan di jauhkan apa yang di larang dan minta di ampunkan semua makhluk serta ke atas orang yang telah menzalimi dirinya…mendengarkan doanya itu membuat kita jadi kerdil dan yang menyentuh hati sangat ialah yang Haikal ni bukan lah seorang yang pentingkan diri tapi orang yang mulia hatinya berdoa untuk semua makhluk…beruntungnya Lia dapat sama-sama sujud dengan orang yang dia suka dan…..entah Liz jadi jeles pun ye dan membuat Liz sedar diri betapa kita ni hanyalah hamba Tuhan…sekeping hati yang mulia terletak pada jiwa yang bersih. Liz mengintai dari pintu dapur sehinggalah mereka berdua selesai solat dan tiba-tiba saja air mata Liz menitis kerana sebak, bahagia bersama syahdunya malam.”


Kemudian saya melihat Emilia memegang jari jemari Elizabeth sambil di genggam erat. Tiada lah saya tahu apa yang sebenarnya sedang bermain di fikiran mereka berdua tatkala itu. Bayu pagi yang berhembus menyambut damai hati kami yang sedang bergelora oleh cerita-cerita tentang satu kehidupan di daerah pedalaman yang begitu asing buat saya tapi begitu lumrah buat mereka berdua.


“Setelah Haikal balik ke resort keesokan harinya, ramai staf terkejut melihat kepala Haikal yang berbungkus. Masing-masing kehairanan tak tahu bagaimana dan kenapa boleh terjadi demikian. Suzanna lah orang pertama yang berani bertanyakan pada Lia apa sudah jadi dengan kepala Haikal dan Lia membohonginya dengan menyatakan bahawa Haikal terjatuh semasa panjat gunung petang semalam. Lia dan Liz tak nak dia orang tahu kisah sebenar takut nanti heboh cerita Haikal kena serang di sebabkan kami berdua.”


“Semasa selepas makan tengah hari Haikal datang ke reception counter dan berehat di anjung di atas kerusi buluh ni lah…masa tu kebetulan tak ada guest jadi sempatlah Liz temankan dia dan kami berbual seketika. Haikal tak pergi kerja lagi pun dia kerja sendiri membolehkan dia dapat merancang masanya apa yang perlu di buat.”


‘Semalam ketika awak dengan Lia solat, Liz dapat merasakan sesuatu yang selama ini tak pernah Liz rasakan…sesuatu perasaan yang tak dapat di ukir dengan kata-kata.’


‘Kamu kan tengah masak masa tu, bila masa pula kamu tengok kami solat’


‘Betul la tengah masak, tapi masa di dapur tu Liz intai dari celah pintu…bila tengok awak dan Lia sama-sama sujud…aduhai…terasa sekali syahdunya, kalau lah masa tu Liz pun dapat bersama alangkah manis suasana itu…’


“Rupanya kau mengendap kami solat…aku mati-mati ingat kau masak dengan auntie Mary…baru sekarang aku tahu kau ni rupanya kaki sekodeng…baru aku teringat sebab tu la makanan lambat siap dan kita makan malam lewat…ni kes sekodeng lebih la ni ye.”


“Banyak lah sekodeng kamu Lia, aku teruja nak tengok macam mana kamu berdua solat, tu saja…mana pernah aku tengok orang solat beramai-ramai…kan kau selalu solat pun sendirian…itu sesuatu yang  baru buat aku…salahkah aku buat cam tu?”


Saya merasakan bahawa ada sesuatu di jiwa Elizabeth yang masih dan sedang terbuku. Mungkin dia sedang mencari sesuatu yang dapat mendamaikan jiwanya. Semacam ada satu keajaiban berlaku apabila Haikal hadir dalam hidupnya. Mungkin juga keperibadian Haikal menambatkan hatinya untuk lebih mendalami sesuatu yang selama ini sedang bermain di hati kecilnya.


“Kau tahu Lia bila kamu mengaminkan doa yang di lafazkan Haikal aku menjadi sebak secara tiba-tiba, dan aku sangat merasa bersalah pada kau yang selama ini banyak berkorban dan menjaga aku dengan baiknya…ingin aku waktu tu menjadi sebahagian dari kamu berdua dan sama-sama berdoa untuk kita semua….dan itulah yang membuatkan aku rasa rugi dan miss sangat moment yang sedemikian.”


“Kau ni Liz, sebenarnya nak ikut berdoa ke saja nak duduk belakang Haikal?…Kau tu cemburu tengok aku masa tu dengan Haikal.”


Saya mendengar saja apa yang mereka berdua cuba meluahkan tentang apa yang terjadi saat mereka bersama Haikal di rumah mereka waktu itu. Terfikir dalam hati bahawa Elizabeth ini sebenarnya sedang tercari-cari arah tuju yang dapat mendamaikan hati dan jiwanya. Sekarang saya mulai dapat menyelami hati dan perasaannya bila dia berkata yang Haikal banyak mempengaruhi jalan hidupnya.


“Kau ni Lia aku serius…selama kau tinggal dengan aku sebilik pernahkah kau memberi izin untuk aku mendekati dan merasai damai seperti apa yang kau alami. Aku pun cuma melihat dari jauh macam mana kau menyerah diri kepada Tuhan dan aku tak berani bertanya lebih takut nanti kita berbeza pendapat dan membuat kita bergaduh…tapi aku tahu kau menemui jalan damai setiap kali kau bersujud…aku dapat rasainya itu…”


“Aku pun sebenarnya tak mahu mengganggu fahaman kau…seperti kau juga aku tak mahu mempengaruhi kau dengan apa yang aku ikuti…kalau kau masih ingat suatu waktu dulu kau pernah mengoyak buku-buku ugama aku dan membuatkan aku lari dari rumah…sebab tu lah aku tak mahu lagi bercerita pada kau apa-apa tentang hal aku dan anutan aku…aku takut sangat pisang berbuah banyak kali.”


“Aku melakukan semua tu bukan kerana aku bencikan apa yang  kau anuti…tapi masa tu aku bencikan kau yang selalu di menangkan oleh ibu bapa aku, menjadikan aku terpinggir di rumah sendiri…kau tahu kan kenapa aku berkelakuan demikian…”


“Apa lagi yang kamu bualkan dengan Haikal semasa kamu berdua duduk di sini?” Semacam tak sabar rasanya saya untuk mengetahui kisah selanjutnya tentang apa yang di lalui oleh Elizabeth dan Haikal pada hari tersebut.


“Semasa kami berdua santai-santai di sini…Haikal duduk di sebelah sana tu yang dekat dengan tiang mengadap ke jalan masuk dan Liz pula kat sini…sini tempat kita duduk ni…Liz tengok Haikal selalu saja pegang kepala dia dan geleng-gelengkan macam dia kurang selesa. Masa tu la Liz rasa macam ada sesuatu yang tak kena dengan kepalanya.”


‘Kenapa awak asyik pegang kepala macam kurang selesa jer…pening kerana kurang tidur tu…oksigen tak sampai ke kepala la tu.’


‘Entah mungkin juga...tapi saya rasa kadang-kadang macam berdenyut dan ngilu pun ye…tapi mungkin kesan jahitan tu kot.’


‘Kalau berlarutan lebih baik kita pergi buat check up kat hospital la…kat klinik tu mana cukup alat…’


‘Tengok keadaan lah…saya pun sehari dua lagi dah nak balik KL...mungkin saya boleh buat pemeriksaan rapi kat sana nanti’


‘Kalau sakit tak  boleh lah kita main tunda-tunda nanti melarat kan susah pula tu...kat hospital Ranau tu ada doktor pakar dan peralatan pun cukup bagus dah sekarang ni…saya tahu kerana pernah di rawat di sana suatu ketika dulu’


“Liz tengok Haikal macam tak percaya yang Liz pernah di rawat di sana. Ya lah muda-muda lagi takkan dah sakit teruk sampai kena warded, tu mungkin yang buat dia hairan kot.”


‘Kamu sakit apa sampai kena masuk hospital…tu mesti kes teruk’


‘Tak de la teruk tapi kerana depression selepas kematian ibu…’


‘Maaf bukan niat saya nak kembalikan kenangan buruk yang mungkin menghantui kamu balik….maaf saya ye…takde niat pun ‘


‘Eh apa pulanya...takde apa…tu cerita lama dan dah awak tanya saya bagi tahu lah kisah sebenarnya...tipu kan berdosa’


“Saja Liz buat kelakar sikit agar dia tidak sangat lah terbawa-bawa dengan sakit kepala dan agar dapat dia menjadi seperti normal…Liz takut gak nanti dia asyik dok fikir sakit saja ….tu pun saikologi boleh buat kita terikut-ikut dan makin parah dibuatnya.”


“Baru aku teringat bila kau cerita semua ni Liz…malam tu masa dinner Haikal tak pun datang kat coffee house…aku ingat masa tu dia saja nak berehat kat bilik, mungkin sakit badan ke atau dia tak nak di ganggu….ya..ya baru aku perasan..”


“Keesokan paginya Haikal minta Liz temankan dia ke hospital Ranau…masa tu Liz minta time off dengan admin…Suzanna yang uruskan kerana Liz bagi tahu ni kecemasan punya hal…dalam perjalanan, semasa dalam kereta Haikal asyik pegang kepala dan Liz pun risau juga maklumlah jalan naik turun bukit dan berliku-liku…banyak selekoh…nanti dua-dua dalam gaung…nasib baik la masa tu pagi taklah banyak kenderaan sangat. Masa dalam kereta tu kami sembang-sembang la, lagi pun memang Liz nak dia lupakan sakitnya…macam-macam cerita lah Liz reka.”


Emilia dan saya mendengar saja kisah Elizabeth dengan Haikal sewaktu mereka dalam perjalanan untuk rawatan susulan di hospital Ranau. Emilia macam pelik pun ada mungkin ini cerita yang tak pernah Elizabeth kabarkan sebelum ini.


“Sepatutnya aku yang sesuai temankan dia kerana aku off duty…yang dia dok cari kau tu yang buat aku bengang masa tu…aku ni shift petang jadi banyak lah masa aku boleh uruskan hal dia…ini kau pula yang di susahkan…aku masa dapat tahu kau keluar dengan Haikal berdesing telinga aku…dah la aku baru nak baik sakit kaki…kau dengan dia pula sakitkan hati aku…sakit hati dengan sakit kaki jauh bezanya tu…”


“Kamu ni tak habis dengan dengki kat dia orang berdua tu kenapa?” Balas saya bila nampak Emilia semacam geram saja.


“Uncle tak faham kisah kami waktu tu…pertarungan sengit uncle..sengit sangat hampir-hampir putus ikatan persahabatan di sebabkan Haikal tu.”


“Masa nak bertolak ke Ranau tu ada Liz tanya Haikal tentang Lia.”


‘Tak ajak Lia sekali ke? Nanti mengamuk dia kan kalau tahu kita berdua keluar ni’


‘Tak pe la saya tak nak susahkan dia biarlah dia berehat. Lagi pun kamu kata dulu kamu yang masuk hospital jadi kamu dah familiar lah dengan urusan di hospital tu’


‘Betul la begitu…tapi kalau Lia tahu semua ni, saya nanti yang kena sembur’


‘Kenapa pula macam tu?’


‘Untuk pengetahuan awak sebenarnya Lia tu sangat berharap semoga dia akan dapat hidup bersama awak satu hari nanti…dia betul-betul menaruh harapan buat masa ni…dia dulu pernah kecewa di sebabkan penglibatan saya dengan seseorang yang dia suka’


‘Ooo macam tu…tapi dia takde pun tunjukkan yang dia sukakan saya…setahu saya kamu yang makin rapat dengan saya…dan saya memang waktu ni pun merasakan hati saya makin terpaut sama kamu’


“Masa tu uncle jantung Liz berdegup kencang bagai nak pecah...memang Liz pun dah mula ada rasa sayang…dan sayang tu sentiasa hadir dalam diri Liz dan perasaan tu lah yang membuat Liz seronok awal-awal pagi untuk pergi kerja.”


“Jealous la pulak dengar cerita kau ni…walau pun dah lama berlalu tapi macam masih segar pula peristiwa ni,” kata Emilia semacam cemburu mendengarkan cerita Elizabeth.


“Ingat lah wahai dewi rimba…ni kisah flash back jangan sangat terbawa emosi…,” kata saya untuk mententeramkan keadaan.


Mungkin Emilia sudah terbawa-bawa dengan perasaannya sendiri. Kadang-kadang pantulan kenangan bisa membuat jiwa jadi kacau.


Kemudian kami sama-sama ketawa sambil Emilia memegang tangan Elizabeth seakan memohon satu keampunan di atas keterlanjuran sikapnya dan Elizabeth pun sama menggosok-gosokkan jari jemarinya ke atas tapak tangan Emilia. Sedih pun juga terasa melihat keadaan mereka berdua.


Kemudian Elizabeth menyambung ceritanya seakan seronok pula dia.


‘Awak tahu lah macam mana hati perempuan….mesti lah segan untuk memulakan…’


‘Kamu berdua ni buat saya betul-betul confuse…pernah satu ketika saya bergurau dengan Lia yang satu hari dia akan jilat muntahnya…kerana masa saya baru sampai dia timing semacam dengan saya…setelah tu saya berazam nak buat dia nyesal…tapi lain pula jadinya bila kamu mula rapat dengan saya….maaf la saya cakap cam ni.’


“Betul tu uncle Haikal pernah cabar Lia yang satu hari Lia akan jilat muntah Lia sendiri….masih terngiang-ngiang di telinga ni teringatkan lagaknya tu…”


‘Saya nak bagi tahu…sebenarnya Lia cedera kakinya tu di sebabkan kita berdua…’


“Masa tu Lia nampak Haikal macam confuse sangat…ye la apa pula kena mengena kaki Lia dengan dia dan saya…mesti kehairanan dia.”


‘Setahu saya tak ada pun salah laku saya hingga dia jadi macam tu…berbelit pula cerita ni ya…saya ingat kan jalan di Ranau ni saja yang berbelit…kisah kita pun tak ubah berbelit macam jalan ni juga…tapi sebenarnya dalam hati saya pun dapat merasakan apa yang terjadi pada kaki Lia ada kena mengena dengan kita semua’


“Liz seronok uncle masa Liz ceritakan hal kami dan Haikal mula menumpukan perhatian dan Liz rasa dah berjaya mengalih tumpuan nya agar dia melupakan kepalanya yang sedang sakit.”


“Bijak juga kamu ni ye?” Ujar saya ringkas.


“Selepas Lia dapat tahu yang sebenarnya hati Haikal telah beralih arah, masa tu Lia rasa kecewa yang teramat. Malu pada diri sendiri pun ada. Sejak hari tu Lia sedaya upaya cuba alihkan arah dan mengasingkan diri dari Liz dan Haikal…masa tu lah Lia banyak muhasabah diri dan sangat berterima kasih pada Liz dan Haikal yang telah membangkitkan Lia dari ego dan mimpi bodoh Lia sendiri. Masa tu memang sukar untuk Lia terima kenyataan yang Lia akan kalah dalam perlumbaan ini…Liz pun sangat perasan perubahan ke atas diri Lia kerana Lia jarang balik rumah dan selalu tidur di resort.”


bersambung di lain keluaran....selamat membaca...

No comments:

Post a Comment